Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol menyaksikan penyerahan projek siap jeti baharu Rumah Peter Kilas, Bintangor, semalam. Foto: TVS

Manfaat peruntukan MRP laksana projek kecil dan sederhana – Abdullah Saidol

BINTANGOR, 29 Mac: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh menggunakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk melaksanakan projek kecil dan sederhana di kawasan masing-masing.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, langkah itu mampu membantu memudahkan pelaksanaan projek sekali gus memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Bagaimanapun ujarnya, peruntukan yang disalurkan itu harus dimanfaatkan secara telus selain dipantau oleh agensi kerajaan seperti Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU).

“Jika setiap JKKK, sama ada di kampung atau rumah panjang bekerjasama, efisien dan menjalankan tugas mereka sebagai entiti JKKK yang bertanggungjawab, saya rasa projek kecil dan sederhana dalam kampung dan rumah panjang mereka dapat laksanakannya sendiri tanpa melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Tapi di sinilah peranan agensi kerajaan seperti SIMU untuk memantau peruntukan ini supaya tidak disalahgunakan atau pun bocor dan sebagainya,” katanya ketika mengadakan lawatan ke projek siap Jeti Baharu Rumah Peter Kilas Selidap di sini, semalam.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, kerajaan juga boleh menyalurkan peruntukan projek kecil dan sederhana melalui majlis daerah sebagai agensi pelaksana.

“Kadang-kadang projek kecil sederhana yang bernilai antara RM40,000 hingga RM100,000, saya rasa agensi seperti majlis daerah atau JKKK mampu untuk melaksanakan.

“Jika kepercayaan dan polisi ini dapat dijelaskan oleh pihak SIMU dan sebagainya, saya rasa banyak JKKK kampung atau pun rumah panjang akan diberi peruntukan untuk melaksanakan projek kecil dan sederhana di penempatan masing-masing,” katanya.

Projek pembinaan jeti baharu yang menggunakan peruntukan MRP Dewan Undangan Negeri (DUN) Semop itu dilaksanakan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ).

Abdullah juga menyifatkan projek itu sebagai kerja yang baik dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan