KUCHING, 29 Mac: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) berikrar akan menyampaikan dasar-dasar Kerajaan Persekutuan dengan terbaik kepada rakyat Sarawak.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Agus Yusoff berkata, hasrat itu merupakan komitmen pihaknya dalam memastikan Malaysia membangun dengan aman dan harmoni.
“J-KOM juga berjanji untuk memberikan yang terbaik kepada Sarawak.
“Ini sebenarnya merupakan langkah awal di pihak kami (J-KOM) untuk membina hubungan yang baik dengan Sarawak. Bahkan kita teruja untuk menjalinkan kerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di lobi Wisma Bapa Malayasia selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Agus juga memberitahu, pelantikan pengarah J-KOM Sarawak yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
“Pengarah Sarawak akan kita lantik dalam masa terdekat, dan beliau akan berbincang dengan pasukannya untuk mengadakan program di Sarawak.”
“Setakat ini untuk pihak saya sendiri, kita akan adakan sekurang-kurangnya empat program sebulan di Sarawak iaitu di daerah-daerah yang dipilih oleh pengarah baharu itu nanti.
“Malah J-KOM akan memberi bantuan serta sokongan yang diperlukan bagi tujuan penganjuran itu nanti,” tambahnya.