KUCHING, 28 Mac: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun melecur di bahagian tangan dan muka manakala seorang lagi wanita warga emas berusia 71 tahun selamat selepas rumah mereka di Sungai Maong Ulu 3 di sini, terbakar malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 11.48 malam dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan rumah dua tingkat jenis kekal telah terbakar sepenuhnya.
“Terdapat dua orang mangsa, seorang berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi terperangkap dan telah diselamatkan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, mangsa difahamkan mengadu sakit dada dipercayai akibat terhidu asap dan cedera di kaki kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
“Pasukan bomba menjalankan pemadaman secara ‘fire break’ di bahagian kiri dan kanan bangunan bagi menyekat kemerebakan kebakaran pada rumah berhampiran, operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.13 pagi,” katanya. -TVS