Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jasmin (tengah) menunjukkan dadah jenis syabu yang berjaya dirampas dalam dua kes berasingan di Tawau, Sabah. Foto TVS.

Tujuh termasuk dua penjawat awam ditahan miliki dadah lebih 1 kg

TAWAU, 27 Mac: Polis menahan tujuh lelaki tempatan termasuk dua penjawat awam selepas melakukan serbuan dan merampas dadah jenis syabu seberat lebih satu kilogram (kg) dalam dua kes berasingan di sini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin berkata, serbuan dan tangkapan pertama dilakukan ke atas lima suspek berumur 30 hingga 59 tahun di dalam sebuah kenderaan di perumahan Bandar Tawau pada 20 Mac lepas.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis di dalam kenderaan mereka telah menjumpai dua bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 103.40 gram.

“Ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dengan semakan rekod jenayah lampau mendapati salah seorang daripada mereka memiliki lapan rekod jenayah dan empat rekod dadah.

“Manakala baki suspek yang lain masing-masing mempunyai satu hingga empat rekod dadah,” katanya ketika sidang media di IPD Tawau, hari ini.

Jasmin berkata, tindakan susulan ke atas rangkaian pengedaran dadah kelima-lima suspek membawa kes kedua membabitkan penahanan dua penjawat awam berusia 34 dan 36 tahun pada 21 Mac kira-kira jam 12.30 tengah malam di kawasan Bandar Tawau.

“Semasa serbuan ke atas kenderaan dinaiki kedua-dua suspek, mereka cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut polis menjumpai lima bungkusan plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 1177.50 gram.

“Ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati negatif dadah dan juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau,” katanya lagi.

Jelasnya, sebuah kenderaan jenis Proton Waja dan wang tunai berjumlah RM1,292 turut dirampas di bawah Seksyen 25 (1) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 kerana dipercayai terlibat dalam tujuan aktiviti dadah.

Kesemua suspek katanya, ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 April ini untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan membawa hukuman mati.

“Kita percaya kedua-dua kes ini dari kumpulan sindiket dadah yang berbeza tetapi mempunyai rangkaian jaringan pengedaran dadah yang sama,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, IPD Tawau telah merampas 11 kilogram (kg) dadah dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan