SARIKEI, 27 Mac: Sebut sahaja kuih bongkol Kampung Selalang, Sarikei, pasti ramai yang terkecur air liur.
Apa tidaknya, setiap kali Ramadan, hidangan yang diusahakan pengusaha kuih tradisional Sarawak, Norjimat Mat dan anaknya, Dayangku Alia Trishna Awangku Tajuddin, pastinya menjadi pilihan pelanggan untuk berbuka puasa.
“Kuih bongkol ini tidak menggunakan pewarna makanan tetapi menggunakan daun pandan agar kelihatan lebih cantik. Orang ramai biasanya menempah awal seperti membuat tempahan tiga hari sebelum sehingga kami tidak menang tangan untuk membuatnya,” kata Dayangku Alia ketika ditemui TVS pada hari ini.
Dayangku Alia berkata, permintaan ke atas kuih itu meningkat sepanjang Ramadan sehingga mencecah lebih 250 bungkus sehari menyebabkan mereka tidak menang tangan dan tidak mampu menyediakannya dalam waktu singkat untuk jumlah yang banyak.
“Kadangkala kami mengalami kesukaran iaitu kekurangan daun pisang. Kami susah untuk mendapatkan daun pisang kerana kami biasanya mengambil sendiri di kampung, tidak menempahnya daripada orang lain,” katanya lagi.
Beliau menjelaskan, bahan untuk kuih bongkol iaitu tepung beras, gula apong dan santan akan diadun yang kemudiannya dimasukkan ke dalam daun pisang sebelum dikukus.
Bagaimanapun katanya, proses penghasilan pembalut kuih itu memerlukan ketelitian dan kemahiran khusus.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pelanggan yang menyokong perniagaan kami. Terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) Datuk Len Talif Salleh yang telah memberi bantuan kelengkapan bagi memudahkan proses pembuatan kuih bongkol ini,” katanya lagi.-TVS