Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang. Foto: RTM.

Parlimen: Tindakan undang – undang terhadap pihak hina agama dan kaum – Aaron

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 27 Mac: Kerajaan akan menggunakan peruntukan undang – undang sedia ada bagi menangani isu penghinaan terhadap kaum dan agama di negara ini, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan akan diambil tanpa menjurus kepada kaum dan agama tertentu sahaja.

Jelas beliau, penguatkuasaan undang – undang dilaksanakan menerusi Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebut perkataan-perkataan atau melakukan perbuatan-perbuatan dengan niat sengaja hendak melukakan perasaan agama seseorang.

“Selain itu, (kita mempunyai peruntukan) Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan, atas alasan-alasan agama, suasana tidak harmoni, perpecahan, perasaan permusuhan, benci-membenci dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ganabatirau Veraman (Pakatan Harapan – Klang) yang ingin tahu tindakan kerajaan dalam memastikan pembelaan terhadap penghinaan sesuatu kaum dan agama.

Mengulas lanjut, kata Aaron, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) pula melibatkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementeriannya juga mempunyai mekanisme untuk mencari penyelesaian isu yang menggugat perpaduan menerusi Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI).

Kata beliau, sebarang isu yang timbul akan dibawa ke jawatankuasa berkenaan yang merupakan platform untuk memperkukuhkan iklim perhubungan yang baik, mesra dalam kalangan pemimpin dan penganut pelbagai agama berteraskan semangat saling hormat-menghormati.

“Selain itu, Majlis Penasihat Perpaduan Negara pula melibatkan tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang seperti ahli akademik, korporat, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan belia,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan