KUALA LUMPUR, 27 Mac: Majlis Getah Malaysia (MRC) meninjau pasaran baharu untuk meningkatkan eksport produk getah bernilai tinggi negara, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching berkata, MPG sentiasa aktif merangka dan melaksanakan aktiviti promosi untuk meningkatkan eksport sarung tangan getah, tayar dan tilam lateks.
Katanya, promosi itu dilaksanakan menerusi pameran perdagangan antarabangsa, misi perdagangan dan padanan perniagaan, seminar pendidikan serta pengiklanan.
“Aktiviti promosi ini bukan sahaja merangkumi pasaran utama seperti Amerika Syarikat dan Eropah, malah turut meliputi negara-negara berpopulasi tinggi dan berpotensi besar seperti China, India, Indonesia, Vietnam, Mexico, Brazil, Rusia, Afrika Selatan, Colombia, Poland, Filipina, Pakistan dan Turki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (Pakatan Harapan – Ledang) yang ingin tahu usaha kerajaan mengurus isu harga lantai getah yang membebankan pekebun getah.
Mengulas lanjut, Siti Aminah berkata, inisiatif dan promosi yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan permintaan getah asli tempatan dan seterusnya mendorong peningkatan harga lantai getah.
“Ini akan memberi pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil di luar bandar,” katanya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, seperti komoditi lain, getah asli juga berorientasikan eksport dan harganya ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa.
“Selain itu, faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi harga getah asli adalah seperti prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeluar dan pengimport utama getah dunia,” katanya. -TVS