Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar hiasan. Foto: Envato

Parlimen: Kerajaan teruskan usaha tambah baik subsidi bersasar

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 27 Mac: Kerajaan sedang meneroka langkah untuk menambah baik pemberian subsidi secara lebih bersasar bagi mengurangkan ketirisan, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini dilakukan bagi mengimbangi tanggungan subsidi dengan keperluan untuk terus memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Ujar beliau, langkah tersebut bertujuan untuk mengoptimumkan perbelanjaan kepada program dan projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat dan ekonomi negara.

“Langkah pertama yang diambil ialah melalui pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar pada separuh 2023 apabila sebahagian kos dilepaskan kepada industri termasuk perbadanan multinasional.

“Melalui langkah ini, kerajaan masih menanggung jumlah subsidi sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal sebanyak RM14.9 bilion dengan penjimatan sebanyak RM4.1 bilion,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Radzi Jidin (Perikatan Nasional – Putrajaya) yang ingin tahu tempoh sebenar subsidi bersasar akan dilaksanakan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 November 2022 serta jaminan kerajaan bahawa harga barangan tidak akan meningkat apabila subsidi bersasar dilaksanakan, hari ini.

Menurut Ahmad, satu pasukan petugas khas telah diwujudkan di bawah kementeriannya untuk bekerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat bagi meneliti keperluan dan kebolehlaksanaan pemberian subsidi secara bersasar.

Katanya, kerajaan akan turut mengenal pasti kaedah yang bukan sahaja berkesan malah menjimatkan masa serta memberi implikasi kewangan paling minimum kepada kerajaan.

“Ini termasuklah mengumpul data dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Penetapan kriteria kelayakan masih belum diputuskan namun usaha membangunkan pusat data yang komprehensif sedang dibuat bagi membantu kerajaan menetapkan kriteria yang bersesuaian berdasarkan data yang diperolehi,” katanya.

Justeru, kata Ahmad, pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar ini akan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan serta mengekalkan fokus kerajaan dalam memastikan kos sara hidup rakyat terutamanya golongan B40 tidak terjejas.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan