KUCHING, 26 Mac: Pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 akan memperkasakan aspek kemudahan dan penguatkuasaan terhadap hak golongan itu yang akan memberi manfaat kepada pemegang saham dan golongan OKU sendiri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia merupakan prosedur biasa kepada mereka yang menguatkuasakan undang-undang tersebut.
“Sebelum dibentangkan, kita juga akan melakukan pendekatan kepada Ahli Parlimen. Ini kerana kadang-kadang Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan pindaan ini, jadi kita harus akur dengan permintaan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Program Kasih Ramadan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan kerjasama Alliance Islamic Bank Berhad di Mydin Tunku Vista di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai proses akta, beliau berkata, pihak kementerian masih menunggu dan akan melakukan perbincangan dan pendekatan secepat mungkin sebaik sahaja ia dimuktamadkan.
Ujarnya, perbincangan juga akan dilakukan bersama pihak peguam termasuk mereka yang selalu membantu golongan OKU di mahkamah.
Pindaan Akta OKU 2008 akan dibentang pada Jun 2023 dan sehingga Disember 2022, terdapat sebanyak 633,653 OKU berdaftar dalam pangkalan data.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank Berhad, Rizal Il-Ehzan Fadil Azim dan Residen Bahagian Kuching, Fathi Hambali. – TVS