LUNDU, 26 Mac: Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM) Selangor sudah mengambil langkah awal untuk membantu remaja berusia 13 tahun dan ibunya yang terlantar sakit di Gombak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, remaja tersebut dan ibunya telah dibawa ke hospital terdekat bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Ia susulan terdapat maklumat yang mendakwa remaja terbabit turut menjadi mangsa kepada gangguan seksual. Jadi sebab itu kita telah bawa mereka ke hospital dan kita tidak akan biarkan mereka tinggal di rumah itu lagi kerana ada orang-orang tertentu pergi ke rumah tersebut untuk mengganggu mereka.
“Saya juga difahamkan semalam salah seorang daripada dalang tersebut telah ditahan oleh pihak polis, namun secara rasminya kalau sudah dapat laporan saya akan keluarkan kenyataan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Kasih Ramadan di Pasaraya Parkway di sini, hari ini.
Beliau berkata, JKM akan membantu kedua beranak tersebut untuk ditempatkan di pusat perlindungan sementara mengikut keperluan masing-masing selepas proses pemeriksaan kesihatan keduanya selesai.
Katanya, ibu remaja terbabit akan ditempatkan di Pusat Perlindungan Orang Dewasa manakala remaja tersebut akan ditempat di Pusat Penjagaan Kanak-kanak.
“Mereka tidak dapat bercampur dan kanak-kanak itu difahamkan telah menjadi mangsa gangguan seksual, jadi sebab itu prosedurnya berbeza dengan ibunya.
“Ibunya terlantar sakit dan sudah berusia maka diletakkan ditempat lain dan perlindungan akan diberikan kepada kedua-dua mereka,” katanya.
Pada Rabu lalu, media melaporkan seorang remaja berusia 13 tahun di Gombak, Selangor yang terpaksa menjaga ibunya yang terlantar sakit selepas disahkan mengidap kanser tahap empat. – TVS