Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Dr Abdul ketika merasmi Bazar Ramadan di Limbang semalam. Foto: TVS

Brunei beri respons positif pembinaan Projek Lebuh Raya Pesisir Utara di Limbang

LIMBANG, 26 Mac: Negara Brunei Darussalam memberi maklum balas positif berhubung keputusan Sarawak untuk membina Projek Lebuh Raya Pesisir Utara di Bahagian Limbang yang akan melalui kedua-dua negara itu.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, selain Lebuh Raya Pesisir Utara, pelbagai isu turut dibincangkan pada kunjungan Sarawak ke Brunei minggu lepas.

Menurutnya, delegasi Sarawak diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengadakan kunjungan dan bermesyuarat dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Dua Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekema Jaya Mohd Yusof.

“Datuk Amar Awang Tengah mengadakan kunjungan kepada Menteri Luar Brunei pada minggu lepas untuk memberitahu bahawa di Limbang ini akan dibuat Lebuh Raya Pesisir Utara yang melalui Brunei, dulunya Pan Borneo melalui Brunei tapi dibatal oleh Pakatan Harapan dan sekarang disambung semula oleh Sarawak, supaya Brunei pun membuat jalannya,” katanya ketika berucap pada Perasmian Bazar Ramadan 2023 di Lot 777 semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata, selain Lebuh Raya Pesisir Utara, Limbang akan mempunyai dua lagi projek rangkaian jalan raya utama iaitu Projek Lebuh Raya Trans Borneo dan Rangkaian Jalan Raya Sabah, Sarawak (SSLR).

“Ketiga-tiga projek rangkaian jalan raya utama ini akan dibina serentak tahun ini dan dijangka siap pada 2028 atau 2030,” ujarnya.

Beliau turut optimis rangkaian jalan raya di Bahagian Limbang termasuk Lawas akan lebih baik dengan siapnya ketiga-tiga projek mega ini yang begitu penting dan amat signifikan buat rakyat di utara negeri ini.

“Jadi Alhamdulillah Brunei nampaknya memberi respons yang baik dan ini menandakan apa yang kita bagitau bahawa kita di Limbang akan ada rangkaian jalan raya yang baik memang bukan cakap kosong dan ia bermula tahun ini, jangkaannya siap 2028 sehingga 2030,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan