Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pais antara makanan kegemaran pada bulan Ramadan. Foto: Aziz Soleh (TVS)

Aroma pais buatkan penggemar tak sabar menanti waktu terbenamnya matahari

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 26 Mac: Setiap kali bulan Ramadan, makanan popular dalam kalangan masyarakat Sarawak yang dikenali sebagai pais sering kali menjadi buruan penggemar makanan laut yang mencari-cari juadah tersebut untuk berbuka puasa.

Pais merupakan isi makanan laut yang diadunkan bersama bahan lain yang kemudiannya dibakar di dalam balutan daun kunyit, membuatkan mereka yang berpuasa terliur menunggu terbenamnya matahari bagi merasainya.

Pais merupakan isi makanan laut yang diadunkan bersama bahan lain yang kemudiannya dibakar di dalam balutan daun kunyit. Foto: Aziz Soleh (TVS)

Menu pecah selera ini biasanya diratah begitu sahaja ketika ia masih hangat ataupun dimakan dengan nasi panas dengan paduan rasa manis, pedas dan masin menjadikan santapan ini begitu menyelerakan.

Bagi peniaga pais, Nurul Hidayah, 27, permintaan terhadap juadah berkenaan meningkat setiap kali bulan Ramadan berbanding hari biasa.

Berbekalkan pengalaman berniaga selama hampir 40 tahun bermula dari ibunya, Hidayah berkata, pais kini mempunyai pelbagai jenis, namun kesemuanya menggunakan bahan yang hampir sama.

#SungkeiAritok | Pais

Menurutnya, antara bahan wajib yang perlu ada dalam pembuatan pais ialah kelapa parut, daun kunyit, bunga kantan, cili, bawang dan garam.

“Pais kini ada pelbagai jenis yang mana saya sendiri menawarkan 11 jenis yang kesemuanya adalah dari makanan laut.

“Antaranya pais botok ikan tenggiri, botok udang, botok sotong, botok telur ikan tenggiri, telur belangkas, telur ikan popot, telur terubuk, suman lemantak udang dan suman lemantak sotong, “ katanya.

Bagi peniaga pais, Nurul Hidayah (kiri), 27, permintaan terhadap juadah berkenaan meningkat setiap kali bulan Ramadan berbanding hari biasa. Foto: Aziz Soleh (TVS)

Hidayah menambah, pais telur belangkas merupakan jenis paling popular berbanding yang lain kerana rasanya yang kekal segar walaupun selepas dipanggang dalam tempoh yang panjang dan ia dikategorikan sebagai jenis yang ‘rare’ dalam kalangan penggemar.

“Proses untuk masaknya ialah bermula dengan belangkas tersebut akan direbus terlebih dahulu dan kemudiannya telur belangkas itu akan diambil dan diletakkan di dalam daun kunyit untuk dipanggang selama setengah jam.

“Bagi pais jenis ini, ia tidak memerlukan perencah atau garam seperti jenis yang lain,“ jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pembeli, Bokeng Tanny, yang ditemui TVS berkata, pais sentiasa menjadi hidangan wajibnya setiap kali Ramadan kerana ia sukar untuk diperoleh pada hari biasa.

Nurul Hidayah berkata dia menawarkan 11 jenis yang kesemuanya adalah dari makanan laut, antaranya pais botok ikan tenggiri, botok udang, botok sotong, botok telur ikan tenggiri, telur belangkas, telur ikan popot, telur terubuk, suman lemantak udang dan suman lemantak sotong. Foto: Aziz Soleh (TVS)

“Memang sangat minat, kalau bukan bulan puasa pun memang seminggu sekali akan buat sendiri.“Kalau saya, pais ikan parek (pari) jadi pilihan kerana ia sangat sedap. Kalau anda rasa sekali, memang nak lagi, percayalah, “ ujarnya.

Berdasarkan tinjauan TVS di gerai yang menjual pais di Bazar Ramadan Taman Sukma di sini, Khamis lepas, mendapati walaupun harga jualan bagi setiap pais agak mahal, namun sambutan pengunjung terhadap juadah itu amat menggalakkan.

Harga jualan bagi setiap jenis pais adalah antara RM3 hingga RM4. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan