KOTA SAMARAHAN, 23 Mac: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal menubuhkan sebuah pusat usahawan luar bandar di Kota Samarahan.
Menurut Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang, pusat tersebut akan menghimpunkan para usahawan luar bandar untuk mempromosikan produk serta perkhidmatan mereka kepada penduduk setempat seiring dengan pembangunan ekonomi negara untuk terus mampan dan maju ke hadapan.
“Saya telah mohon kepada MARA untuk mewujudkan satu pusat di Kota Samarahan iaitu salah satu lot kedai MARA di Pasar Baru Samarahan yang akan kita buka tidak lama lagi.”
“Di mana pusat tersebut akan menarik perhatian usahawan-usahawan dalam apa-apa sahaja kategori, produk mahupun servis bukan sahaja untuk orang kata sebagai satu inkubator, tetapi tempat mereka berkumpul dan mempromosikan perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Koperasi Inovatif Keusahawanan Bumiputera Sarawak Berhad (KiUB) dan Bazaar Ramadan Summer Mall KiUB di Kota Samarahan pada Sabtu.
Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan itu memberitahu kementeriannya akan bercadang akan menganjurkan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Kota Samarahan buat julung kalinya.
“Di bawah Kementerian Desa dan Wilayah, kita juga akan membantu usahawan-usahawan luar bandar bukan sahaja dari segi pemasaran melalui program-program atau aktiviti yang kita anjurkan, Insya- Allah kita akan bawa KUD ke Kota Samarahan.
“Pada masa sama, kita juga akan memperkenalkan satu sistem atas talian yang meluas iaitu Desa Mall,” katanya lagi.
Turut hadir Pengerusi Koperasi Inovatif Keusahawanan Bumiputera Sarawak Berhad Saidi Rasemi, Pensyarah Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Prof. Ts. Dr Khong Heng Yen dan Pengarah Urusan Summer Mall Datuk Lee Chee Fui. – TVS