KUCHING, 25 Mac: Konsep Malaysia Madani akan diketengahkan pada Persidangan Antarabangsa Cina Muslim 2023 yang akan diadakan pada 18 hingga 20 Ogos ini, di sini.
Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Profesor Datuk Taufiq Yap Yun Hin berkata, bertemakan ‘Peranan dan Kesan Orang Islam Cina: Memeluk Masa Depan’, persidangan ini dijangka akan menarik penyertaan peserta dari Thailand, Brunei, Singapura, China dan Taiwan.
“Kami menyasarkan 200 peserta sepanjang acara itu berlangsung. Hari pertama dan kedua lebih kepada sesi dan bengkel manakala hari terakhir kita akan membawa peserta menjelajah di bandar raya ini,” katanya pada sidang media semalam.
Menurutnya lagi, persidangan anjuran MACMA ini akan memberi peluang kepada para peserta meraikan kepelbagaian dan memberi inspirasi ke arah nilai-nilai positif.
Persidangan ini akan mengupas topik pendidikan, perniagaan dan kewangan serta budaya.
Ia juga akan mempromosikan peranan Cina Muslim dan rakyat Malaysia secara am dalam memupuk keamanan dan pembangunan.
Para hadirin juga akan berpeluang untuk melibatkan diri dalam acara rangkaian dan mengambil bahagian dalam aktiviti kebudayaan yang menonjolkan kekayaan sejarah dan tradisi masyarakat Cina Muslim.
Maklumat lanjut mengenai persidangan itu boleh didapati di http://www.macma.my/main. – TVS