BINTANGOR, 24 Mac: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menegaskan beliau memberi perhatian serius terhadap usaha menarik taraf Kompleks Sukan Bintangor.
Malah katanya, perkara itu harus mendapat perhatian segera berikutan keadaannya yang uzur dan tidak selamat untuk digunakan.
Antara yang perlu diberi perhatian khusus katanya, termasuklah trek larian dan padang bola sepak.
“Minggu lepas saya telah ke Kuching berjumpa Setiausaha Belia dan Sukan Sarawak, berita baiknya, Bintangor atau Kompleks Sukan Bintangor dalam senarai keutamaan keempat dalam semakan pertengahan penggal, berkemungkinan tahun depan,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.
Beliau berkata, usaha naik taraf kemudahan itu mesti dilakukan kerana peranan pentingnya sebagai lokasi utama penganjuran pelbagai program keramaian termasuk acara sukan.
Ujarnya, Bintangor memerlukan kemudahan sukan bertaraf moden bagi melahirkan lebih ramai atlet yang berbakat untuk diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi.
“Saya sering mengutarakan masalah ini (naik taraf kompleks sukan) hampir setiap sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Sehubungan itu, saya amat berharap tindakan segera dapat dilaksanakan bagi menambah baik kemudahan ini sekali gus menyediakan prasarana lebih baik kepada penduduk Bintangor untuk melakukan aktiviti riadah,” katanya. – TVS