Miri, 25 Mac: Sebanyak 800 pek bubur lambuk diagihkan oleh Kolej Komuniti Miri kepada penduduk setempat dalam usaha mengimarahkan bulan Ramadan kali ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin yang turut menyertaikan program agihan mengakui aktiviti amal itu sebagai satu usaha yang terpuji sempena bulan puasa ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Kolej Komuniti kerana menjemput saya untuk bersama-sama dengan mereka menyampaikan bubur lambuk di depan Kolej Komuniti ini,
“Ini adalah satu usaha kolej dan pelajar untuk memasak bubur lambuk dan juga mengadakan aktiviti amal sempena bulan puasa ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Program Agihan Bubur Lambuk di Kolej Komuniti Miri di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Miri, Hazzata Morshidi berkata, program tersebut diadakan selain bertujuan membantu golongan yang kurang berkemampuan pada masa sama turut memupuk silaturahim antara staf kolej bersama pelajar.
“Diharapkan juga dengan aktiviti ini kami dapat mempromosi Kolej Komuniti kepada penduduk setempat,” katanya.
Selain agihan kepada penduduk setempat, Kolej Komuniti Miri juga telah mengagihkan bubur lambuk kepada Rumah PERYATIM Permyjaya, Pusat Tahfiz Lutong dan Masjid Ar-rayyan. – TVS