KUCHING, 25 Mac: Kerajaan Sarawak akan menyediakan peruntukan untuk membina sistem perparitan di Kampung Sinar Budi Baru di Batu Kawa ekoran kawasan berkenaan sering terjejas akibat banjir.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian juga mengakui sistem perparitan yang sedia di camping tersebut tidak dapat menampung skala air hujan yang kian meningkat.
“Cuaca kini sudah berubah, ia lebih ekstrem. Skala air hujan kini adalah lebih 20 peratus berbanding dahulu.
“Dahulu, kalau kita bina parit skala kecil sudah memadai namun kini parit kecil ini sudah tidak dapat menampung air hujan. Jika ia tidak ditangani, kawasan ini akan dilanda banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, perrbincangan bersama Jabatan Pengairan Dan Saliran Sarawak (DID) telah dilakukan untuk mengatasi masalah banjir yang melanda kawasan bandar.
Tambahnya, peruntukan yang diberi tidak lagi memerlukan kelulusan persekutuan ekoran jumlah peruntukan yang besar akan mengambil masa yang lama untuk diluluskan.
“Saya sudah berbincang bersama DID, mereka akan membangunkan beberapa projek ke sini dahulu. Tempat ini mesti dibina sebuah kolam untuk pengaliran air hujan.
“Premier Sarawak berkata beliau akan memberikan peruntukan dan tidak lagi perlu menunggu kelulusan persekutuan, kerana dana itu mengambil masa yang lama untuk diluluskan susulan kos perbelanjaan diperlukan adalah besar,” ujarnya.
Dr Sim berkata demikian ketika berucap pada program Gerak Rahmah Pengagihan Bubur Lambuk di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 148 mangsa melibatkan 31 ketua isi rumah (KIR) dari Kampung Sinar Budi Baru ditempatkan di Pusat Pemindah Sementara (PPS) di Dewan R-Piang Kampung Sinar Budi Baru berikutan banjir kilat akibat hujan lebat yang melanda 18 Mac lalu. – TVS