MIRI, 25 Mac: Festival Kraf Kebangsaan (FKK) 2023 menganggarkan sekitar RM400,000 hasil jualan akan diperoleh sepanjang sepuluh hari ia berlangsung di sini.
Menurut Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Naqiuddin, FKK yang diadakan di Bintang Megamall Miri bermula semalam, (24 Mac) akan berakhir 2 April depan.
Beliau optimis FKK akan membuka peluang kepada usahawan kraf tempatan serta dari Semenanjung dan Sabah bagi memasarkan produk mereka di Miri.
Mohd menambah FKK juga antara program promosi yang diadakan bersempena dengan Hari Kraf Kebangsaan anjuran Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak.
“Penyertaan usahawan pada kali ini ialah seramai 38 orang terdiri daripada usahawan Sarawak, usahawan Sabah dan ada juga dari Semenanjung yang bertemakan dan mengetengahkan konsep penggunaan harian produk kraf.
“Saharan festival untuk kali ini ialah mempromosikan dan memperkenalkan produk-produk kraf kepada orang ramai terutamanya di Miri. Mengikut perancangan kami, kami akan mempromosikan kraf Malaysia di setiap bandar utama di Sarawak seperti di Kuching, Sibu, Bintulu dan Mir,” katanya ketika ditemui pada Festival Kraf Kebangsaan (FKK) 2023 di Bintang Megamall Miri pada Sabtu.
Untuk rekod, seramai 38 orang usahawan kraf telah menyertai Festival Kraf Kebangsaan 2023 Negeri Sarawak ini merangkumi mereka yang menghasilkan kraf hasil rimba, tesktil, aneka kraf, kraf hasil logam dan kraf hasil tanah.
Selain itu, promosi Jum Masuk Institut Kraf Negara (IKN) juga turut dijalankan pada FKK 2023 ini bagi mereka yang berminat untuk menyertai dan belajar dalam bidang tenunan songket dan tenunan pua. – TVS