KUCHING, 24 Mac: Tular di media sosial apabila seorang lelaki warga Jepun yang lengkap berpakaian sut bersahaja mendaki Gunung Kinabalu.
Menerusi satu hantaran beserta gambar di Facebook milik Nobutaka Sada, dia menyatakan bahawa dia telah berjaya menawan puncak gunung tersebut.
“Mendaki Gunung Kinabalu, puncak tertinggi Malaysia di Borneo dengan sut SADA! Gunung lebih tinggi daripada Gunung Fuji pada ketinggian 4095m,” katanya dalam hantaran itu.
Difahamkan, Sada, seorang tukang jahit bagi jenama pakaian lelaki Jepun, SADA, telah berpakaian sebegitu sewaktu mendaki hanya sebagai gimik untuk mempromosikan sut jenamanya.
Rata-rata ramai juga netizen yang kagum dengan penampilan lelaki Jepun tersebut kerana telah memakai sut lengkap dan berkasut kulit untuk mendaki gunung tertinggi di Malaysia itu. – TVS