KUCHING, 24 Mac: Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka pada tahun ini menyenaraikan sembilan acara berskala besar bagi memeriahkan sambutan bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’ bermula Mei hingga Ogos ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara yang disenaraikan ialah Konvoi Kembara Sarawak Merdeka, Pameran Digital 60 Tahun Sarawak, majlis kesyukuran perdana serta perhimpunan dan perarakan.
Konvoi Kembara Sarawak Merdeka akan bermula di Limbang pada 28 Mei dan berakhir di Kuching pada 22 Julai ini.
“Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) telah bersetuju untuk mengikuti (konvoi kembara) peringkat kedua bermula 10 Jun dari Miri ke Bintulu sama ada menggunakan motosikal atau kereta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pelancaran Logo, Lagu, Laman Sesawang dan Kalendar Acara Sempena Sambutan Perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perhubungan Negeri-Persekutuan Sarawak) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Industri Kreatif dan Seni Persembahan) Datuk Snowdan Lawan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turut hadir.
Turut dimuatkan dalam senarai acara ialah majlis jamuan negeri, konsert rakyat, persembahan bunga api, perarakan kapal berhias dan perarakan.
Acara kemuncak sambutan ialah perhimpunan dan perarakan raksaksa di Padang Merdeka, di sini, pada 22 Julai bermula jam 8.30 pagi.
“Mengimbau sejarah sambutan Hari Sarawak, ia telah diisytiharkan sebagai cuti umum di Sarawak dan ia telah diumumkan oleh Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem semasa Program Sejiwa Senada pada 2016.
“Ini juga platform terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat agar mereka hidup saling hormat-menghormati dan bertoleransi walau berbeza bangsa, agama dan budaya,” katanya. – TVS