KUCHING, 24 Mac: Pembinaan tempat simpanan kenderaan (vehicle yard) di Pelabuhan Senari perlu dipercepat sebelum pembinaan projek Jambatan Sejingkat-Samarahan siap kelak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata limbungan kapal di Pelabuhan Senari akan mengambil alih peranan Pelabuhan Pending yang sebelum ini dijadikan tempat simpanan kereta dibawa kapal sebelum diagihkan ke pasaran di sini.
“Sekarang ini, kapal yang membawa kereta ke Sarawak singgah di Pelabuhan Pending. Namun, sekarang ini kita sedang membina Jambatan Sejingkat-Samarahan yang akan menghalang laluan ke sana. Sebab itu kita bina limbungan kapal dan fasiliti berkaitan yang baru di Pelabuhan Senari ini.
“Pembinaan kemudahan ini menelan kos RM59 juta dan kontraktor perlu menyiapkan projek ini pada Julai tahun hadapan,” katanya semasa mengadakan lawatan ke Pelabuhan Senari di sini, hari ini.
Menurut Uggah, awalnya projek pembinaan tempat simpanan kenderaan tersebut dijangka akan memuatkan 2,008 kenderaan namun kini akan ditambah sehingga mampu memuatkan sehingga 5,000 kereta.
“Saya berharap ahli perniagaan berkaitan ambil maklum tentang perkara ini kerana kita mahu mereka terus kekal menjalankan perniagaan di Kuching.”Kita akan menyediakan perkhidmatan terbaik untuk memenuhi keperluan mereka. Jika perlu kita akan menambah lagi kemudahan yang mereka perlukan,” ujarnya.
Sementara itu, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan ketika mengulas mengenai kemajuan pembinaan Jambatan Sejingkat-Samarahan, memaklumkan bahawa pembinaannya kini 12 peratus mengikut jadual.
“Saya bersama-sama dengan timbalan saya (Ir Aidel Lariwoo) akan sentiasa turun padang memantau kemajuan projek dan berusaha untuk mencari cara memepercepatkan projek jambatan ini. Sebelum ini isunya ialah kekurang tenaga kerja. Namun kini masalah tersebut telah diselesaikan,”ujarnya.
Untuk rekod, kos pembinaan Jambatan Sejingkat-Samarahan ialah RM365.7 juta dan dijangka siap pada 15 Jun 2025 serta menjadi sebahagian inisatif Sarawak membina jalan pesisir. – TVS