KUCHING, 24 Mac: Gagasan tiga kesatuan sekerja menyokong penuh usaha dan inisiatif Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam membangunkan negeri.
Gagasan yang terdiri daripada pekerja LHDN, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Sarawak dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi jurucakapnya, Mohamad Abdul Manaf berkata sokongan diberikan itu terutama dari segi kutipan cukai dan sumbangan menerusi pelbagai aktiviti.
Malah, pelantikan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri amat mereka alu-alukan.
Beliau berkata demikian ketika kunjungan hormat gagasan tiga kesatuan sekerja Malaysia terhadap Abang Johari di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
“Kami sangat menyokong usaha Premier Sarawak dalam memacu negeri dengan kadar kutipan cukainya pada tahun lepas dilihat meningkat,” katanya kepada ditemui selepas kunjungan hormat.
Pada masa sama, pegawai daripada KWSP Sarawak, Ronney Khairudin berkata kunjungan itu bertujuan untuk memohon kerajaan negeri menyelesaikan isu berkaitan 50 pegawainya yang dilantik dari tahun 2008 ke atas untuk mendapatkan hak tuntutan menerima elaun wilayah.
“Kami memang berharap agar kerajaan Sarawak dapat membantu pegawai-pegawai dan anggota KWSP Sarawak yang dilantik dari 2008 sehingga kini untuk mendapatkan hak elaun wilayah mereka,” katanya.
Turut sama dalam kunjungan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala. – TVS