BINTULU, 24 Mac: Seorang gadis berusia 19 tahun terpaksa menanggung derita lebih satu jam apabila paha kanannya tertusuk serampang di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Timbalan Penguasa I, Christus Buson berkata sepasukan anggotanya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan dari Hospital Bintulu memohon bantuan khidmat khas itu pada jam 1.37 pagi.
“Setiba di wad kecemasan Hospital Bintulu, didapati seorang gadis tertusuk besi serampang di paha kanannya.
“Anggota bomba bertindak menggunakan peralatan khas bagi memotong besi serampang itu sehingga berjaya dikeluarkan daripada paha mangsa pada jam 2.12 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Christus berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak perubatan untuk menerima rawatan lanjut sebelum pasukan bomba bertolak balik ke balai.
Punca kejadian tidak dapat dikenalpasti namun keadaan mangsa dilaporkan stabil. – TVS