KUCHING, 23 Mac: Sarawak dilitupi 7.65 juta hektar hutan atau 61.4 peratus daripada keseluruhan keluasan Sarawak, kata Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad.
Ini disahkan Laporan Ketua Audit Negara 2021 Siri 2 bertajuk Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar, Aktiviti Kementerian/ Agensi dan Pengauditan Pematuhan Kementerian / Agensi Negeri yang dikeluarkan pada 6 Januari 2023.
Menurutnya, laporan berkenaan telah merumuskan hutan di Sarawak telah diurus secara berkekalan bagi memberi manfaat sosioekonomi dan mengekalkan kelestarian alam sekitar.
“Kelestarian alam sekitar menjadi agenda utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) ke arah Sarawak maju menjelang 2030,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ia adalah susulan kenyataan pihak tertentu yang mengatakan Sarawak akan kehilangan lebih banyak kawasan hutan.
Beliau menegaskan, kenyataan itu adalah berdasarkan persepsi melihat kepada trend semasa pembukaan kawasan tanah untuk pembangunan.
“Kita tidak menafikan bahawa Sarawak sedang pesat membangun menuju ke arah negeri maju menjelang 2030.
“Memang terdapat kawasan tanah yang dibuka untuk tujuan pembangunan pelbagai sektor seperti pertanian, pembukaan bandar dan perumahan, industri dan sebagainya,” jelasnya.
Tegas beliau lagi, Sarawak berusaha untuk mengimbangi pembangunan ini dengan kelestarian alam sekitar, lebih-lebih lagi dalam mengekalkan kawasan hutan.
‘Sarawak Land Use Policy 2012’ menetapkan tujuh juta hektar untuk tujuan guna tanah perhutanan iaitu hutan simpan kekal (enam juta hektar) dan bagi tujuan Kawasan Terlindung Sepenuhnya (sejuta hektar).
Antara program yang dijalankan untuk memastikan usaha-usaha pemuliharaan dan rehabilitasi hutan adalah:
-
Program penanaman pokok secara besar-besaran di seluruh Sarawak, melalui ‘Greening Sarawak Campaign’ dan Penghijauan Malaysia.
-
Mengurangkan kadar penebangan pembalakan hutan dengan menggunapakai kaedah pembalakan berimpak rendah (RIL – Reduce Impact Logging).
-
Pelesen Pembalakan juga telah diwajibkan untuk menjalankan penanaman mengaya (enrichment planting) dengan menanam pokok kawasan konsesi masing-masing pada kadar yang bersesuaian bagi menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang.
-
Mengurangkan kebergantungan hasil pendapatan Sarawak dari sumber perkayuan kepada sumber ekonomi baharu seperti Perdagangan Karbon.
-
Penggunaan teknologi hutan dan geospatial dalam pengurusan dan konservasi hutan.
Hamden berkata, berdasarkan semua usaha yang telah dilaksanakan, Sarawak akan dapat mengekalkan litupan hutan dan kelestarian alam sekitar untuk kesejahteraan rakyat. – TVS