SIBU, 23 Mac: Polis memberkas tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan tujuh kes pecah rumah di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, kesemua suspek berusia antara 25 hingga 28 tahun terbabit diberkas secara berasingan.
Ketiga-tiga suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dalam satu operasi membanteras kegiatan pecah rumah yang dilancarkan di sekitar daerah ini sejak 15 hingga 19 Mac lalu.
“Hasil siasatan pihak kami mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk terlibat dalam kes pecah rumah, curi kereta serta penyalahgunaan dadah.
“Pihak kami dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu juga telah berjaya merampas beberapa barang berkaitan kes pecah rumah yang kini dijadikan sebagai barang bukti kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Susulan kejayaan itu, Zulkipli percaya pihaknya telah berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah yang dilaporkan sebelum ini.
Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah dan curi. – TVS