Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Proton merupakan antara syarikat automatif yang bekerjasama dengan GiatMara, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini. Foto Bernama.

Parlimen: GiatMara bekerjasama dengan Kawasaki, Proton mantapkan graduan – Rubiah

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR, 23 Mac: GiatMara bekerjasama dengan pemain industri terkemuka dalam bidang automotif bagi memastikan graduannya relevan dengan pasaran buruh negara, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata, antara syarikat yang terlibat termasuklah Proton, UMW Corporation Sdn Bhd (UMW), Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), Kawasaki serta Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS).

Kata beliau, inisiatif itu dilakukan menerusi program seperti Pusat Kecemerlangan Industri, program pembangunan berasaskan industri dan Job Ready Programmes.

“Selain itu, GiatMara melaksanakan kajian pasaran dari semasa ke semasa bagi memastikan setiap kursus yang ditawarkan bertepatan dengan kehendak industri serta permintaan semasa dan masa hadapan.

“Sehingga kini, terdapat 108 jenis kursus di bawah 12 kluster yang ditawarkan oleh GiatMara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Perikatan Nasioanl – Machang) yang ingin tahun sama ada GiatMara mempunyai perancangan untuk membina sebuah kemudahan lengkap di sebuah premis kekal untuk GiatMara Machang beroperasi memandangkan Menteri telah memberi komitmen untuk melaksanakan TVET berimpak tinggi secara besar-besaran.

Berkenaan GiatMara Machang, Rubiah memaklumkan, pusat latihan itu telah beroperasi pada 8 Januari 1991 dengan menawarkan tiga kursus pensijilan iaitu Kursus Teknologi Automotif, Kursus Teknologi Elektronik Audio Visual dan Kursus Sistem Komputer.

Menjawab soalan tambahan Datuk Willie Mongin (Gabungan Parti Sarawak – Puncak Borneo) sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk menaik taraf GiatMara Mambong, Sarawak dan menambah kursus ditawarkan terutamanya berkaitan Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Rubiah berkata, beberapa perkara perlu diperhalusi.

“Tambahan kursus atau sijil di GiatMara (dibuat) berdasarkan permohonan dan kajian serta potensi kursus itu berhampiran GiatMara,” katanya.

Berkenaan perancangan untuk menaik taraf GiatMara Mambong pula, Rubiah berkata, beliau akan memberikan jawapan bertulis.

“Namun GiatMara diberi peruntukan menerusi Belanjawan 2023 untuk menaik taraf kemudahan,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan