KUCHING, 23 Mac: Bazar Ramadan Satok, antara lokasi tumpuan warga bandar raya ini untuk membeli juadah berbuka pada hari pertama umat Islam menunaikan ibadah puasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki berkata kemeriahan jelas terlihat dengan kehadiran penduduk tanpa mengira bangsa.
“Bazar Ramadan Satok kelihatan sangat meriah pada hari ini. Sekarang setelah pandemik COVID-19, kita dapat melihat ramai orang keluar untuk menikmati pemandangan luar.
“Semoga semua rakyat Sarawak bersemangat dalam menyambut bulan Ramadan di Malaysia ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Bazar Ramadan Satok 2023 di sini, hari ini.
Interaksi pelbagai kaum dan agama di Bazar Ramadan mengeratkan lagi keharmonian di Sarawak.
Tambahnya, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut memantau pengoperasian bazar khususnya terhadap kawalan harga jualan dan penjagaan kebersihan.
“DBKU sudah meninjau harga jualan peniaga dan mereka menjual dengan harga yang berpatutan. Perkara yang penting adalah kebersihan dalam berniaga.
“Kebanyakan mereka adalah peniaga yang sama dan ada yang baharu. Jadi, jangan risau jika mereka berniaga dengan baik pada tahun lepas, semoga pada tahun ini kekal seperti itu,” katanya lagi.
Bazar Ramadan Satok menempatkan 95 gerai yang menjual pelbagai makanan dan minuman untuk juadah berbuka puasa. – TVS