SARIKEI, 23 Mac: Bazar PosaRaya di Kampung Seberang Sarikei bukan hanya membuka peluang ekonomi tetapi juga simbolik perpaduan dalam kalangan peniaga pelbagai kaum di tapak jualan itu.
Pengerusi Pengurusan Tertinggi Downtown, Alif Omar Yunus berkata, bazar yang pertama itu dianjurkan bersama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang, Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis, Lembaga Tabung Haji dan Jawatankuasa Pengurusan Downtown.
Tambah Alif, seramai 160 peniaga beroperasi di tapak itu menyediakan aneka pilihan jualan kepada pengunjung.
“Keistimewaan di Bazar PosaRaya di tapak Downtown Taman Selera, Kampung Seberang pada kali ini adalah bazar ini merupakan kali pertama anjurannya di Sarikei dengan membuat keseragaman keseluruhan kanopi bagi keselesaan penjaja dan juga pengunjung sepanjang bulan puasa ini.
“Selain itu, terdapat juga pengisian program mingguan dan majlis berbuka puasa yang akan diadakan di perkarangan Taman Selera,“ katanya ketika ditemui pada petang semalam.
Bazar tersebut akan dibuka kepada orang ramai bermula hari ini, sudah pastinya tapak berkenaan akan mendapat sambutan menggalakkan sekali gus menyerikan lagi sambutan Ramadan tahun ini.
Malah katanya, kepelbagaian suku kaum yang berniaga di tapak berkenaan menambahkan lagi keunikannya.
“Kami juga ingin berterima kasih kepada Yang Berhormat (YB) Datuk Len Talif Salleh dan YB Yusuf Abdul Wahab yang menaja pihak kami dari segi elektrik dan air untuk kegunaan para penjaja di perkarangan tapak downtown sepanjang Ramadan ini,” katanya lagi.
Tambahnya, permintaan tinggi terhadap barangan keperluan sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya seperti pakaian, kuih-muih dan peralatan rumah sekali gus menyediakan peluang ekonomi.
Justeru pihaknya juga berharap tapak itu bukan semata-mata menjadi lubuk rezeki tetapi juga membuka ruang kepada peniaga khususnya anak muda untuk meneroka bidang perniagaan sebagai sumber pendapatan. – TVS