KUCHING, 22 Mac: Yayasan Kepimpinan Al Bait (YKAB) melancarkan Program Infak Baju Raya untuk membantu golongan yang memerlukan terutamanya golongan B40 untuk persiapan mereka menjelang Hari Raya Aidilftri sempena bulan Ramadan tahun ini.
Pengerusi YKAB, Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, program itu berjaya mengumpul sebanyak lebih kurang 5,000 pasang baju raya daripada 350 orang dari sekitar bandaraya Kuching.
“Ini adalah salah satu inisiatif kita dari segi kebajikan dan telah mendapat sambutan yang begitu baik sekali di mana masyarakat telah menghantar baju-baju meraka yang masih dalam keadaan yang baik khas untuk Hari Raya Aidilfitri.
“Baju-baju raya di sini semuanya dalam keadaan yang baik, boleh dikatakan dalam keadaan “pre-loved”, tarafnya lebih kurang seperti baju yang dibeli di Pusat Membeli-Belah,” katanya selepas Majilis Pelancaran Program Infak Baju Raya Al Bait di Majma Mall di sini, hari ini.
Hadir sama ialah barisan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKAB, Bolhassan Iskandar Taibi dan Sulaiman Mahili serta Pengurus YKAB Abdul Hafiz Zainalabidin.
Beliau turut menegaskan bahawa program itu juga tertumpu kepada pengumpulan dana awam, di mana rakyat boleh bersama-sama dan membantu mereka yang juga terkesan dengan impak ekonomi masa kini.
“Kami (YKAB) bersama dengan pihak Baitulmal telah mengajak para penyewa di Majma Mall ini untuk memberi bantuan dengan hasil perolehan mereka dan mereka telah mengumpulkan lebih RM5,400 untuk kita agihkan kepada mereka yang amat memerlukan,” katanya.
Program Infak Baju Raya Al Bait adalah hasil kerjasama antara YKAB dengan Tabung Baitulmal Sarawak, Koperasi Al Bait Sarawak Berhad dan Pengurusan Kompleks Islam Sarawak, Kuching.
Program ini akan berlangsung pada setiap hari Sabtu dan Ahad untuk sepanjang bulan Ramadan bermula pada 25 Mac 2023 (Sabtu) ini dan waktu operasi untuk pengambilan baju-baju tersebut bermula pada jam 10 pagi hingga 5 petang, di Lot C16, Aras 2, Majma Mall. -TVS