KUCHING, 22 Mac: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menerima kunjungan hormat Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Yahaya Ali dan Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub di bangunan DUN Sarawak hari ini.
Dalam pertemuan tersebut, kedua delegasi tersebut bersama isteri masing-masing berkesempatan meninjau Dewan Mesyuarat (Chamber) dan melihat keunikan reka bentuk bangunan DUN Sarawak.
Pada masa yang sama, Speaker DUN Sarawak turut berkongsi tentang latar belakang dan sejarah DUN serta keunikan serta kepelbagaian budaya di Sarawak.
Speaker DUN Sarawak telah berbincang bersama bagaimana hendak memperkasakan institusi legislatif supaya menjadi salah satu institusi penting yang tinggi kedudukannya atau setaraf dengan institusi eksekutif dan kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan .
Ini juga mempastikan kedudukan DUN di Malaysia diseragamkan supaya tidak ketinggalan dari aspek transformasi seperti negara-negara yang mengamalkan sistem perlembagaan berparlimen yang berpaksikan demokrasi dan peraturan perundangan iaitu rule of law.
Turut hadir pada kunjungan hormat tersebut Dato Fatimah Mohd Iskandar, Datin Rowiyah Ghazali, To’ Puan Zarani Othman, Timbalan Speaker Dewan Negeri Kelantan, Dato’ Abdul Fattah Mahmood, Setiausaha Dewan Negeri Kelantan, Zaika Yamani Ibrahim serta Setiausaha DUN Sarawak, Pele Peter Tinggom. -TVS