MIRI, 22 Mac: Perkhidmatan perpustakaan perlu diubah dan dimodenkan bagi menarik orang ramai ke perpustakaan bukan sahaja untuk menggalakkan tabiat membaca, tetapi juga untuk mempromosikan perpustakaan sebagai tempat menimba ilmu.
Demikian kenyataan daripada Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang, yang melihat generasi muda sekarang yang lebih memberi perhatian kepada televisyen dan telefon bimbit berbanding meluangkan masa ke perpustakaan.
“Penyediaan perkhidmatan perpustakaan kepada orang ramai adalah untuk menarik dan menggalakkan tabiat membaca dan juga untuk mempromosikan perpustakaan sebagai tempat menimba ilmu. Saya fikir kita akan dapat menarik lebih ramai orang untuk datang ke perpustakaan yang mempunyai suasana moden. Seperti yang kita sedia maklum, anak muda hari ini semuanya terganggu dengan begitu banyak gangguan seperti televisyen, permainan dalam talian, telefon bimbit dan sebagainya,” katanya demikian semasa Majlis Pra Perasmian Perpustakaan Komuniti Lutong Fasa 2 pada hari ini.
Peningkatan pengunjung ke Perpustakaan Komuniti Lutong di Pusat Beli-Belah sehingga 3,000 pengunjung setiap bulan menyakinkan beliau betapa pentingnya pemikiran kreatif dan progresif.
“Perubahan pemikiran daripada penyediaan perpustakaan tradisional di Lutong kini kepada Pusat Beli-Belah di bawah konsep perpustakaan komuniti ini telah terbukti sangat berjaya. Kejayaan transformasi boleh dibuktikan dengan bilangan pengunjung ke perpustakaan. Sebelum ini, purata lawatan bulanan adalah sekitar 120 orang, kini boleh mencecah 3,000 orang pengunjung. Terdapat peningkatan yang ketara dalam jumlah kunjungan orang ramai ke perpustakaan kami,” katanya lagi.
Tidak seperti perpustakaan tradisional yang memerlukan penghuninya senyap membaca buku sahaja, Perpustakaan Komuniti Lutong menyediakan ruang untuk masyarakat berkomunikasi dan berinteraksi seperti ruang khas kanak-kanak untuk mereka bermain, bilik audio-visual dan bilik Teknologi maklumat (IT).
Terdapat juga perancangan untuk menambah fasiliti dan kemudahan baharu seperti makerspace sebagai ruang untuk melakukan aktiviti bersama, bilik mesyuarat dan bilik tutorial di perpustakaan tersebut.
Untuk rekod, Projek Perpustakaan Komuniti Lutong Fasa 1 sebelum ini telah dilancarkan pada 23 Februari 2022 setelah berpindah dari Perpustakaan Cawangan Lutong ke MYY Mall Lutong. – TVS