KUALA LUMPUR, 22 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai hak mereka sebagai pengguna, terutamanya dalam membuat keputusan pembelian masih di tahap sederhana.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, berdasarkan Indeks Pendayaupayaan Pengguna Malaysia, rakyat negara ini berada di tahap sederhana iaitu dengan skor 63.1 peratus pada 2019 hingga 2022.
Menurutnya lagi, skor pada pertimbangan pembelian pula ialah 68.8 peratus, literasi kewangan (62.5 peratus) dan keupayaan untuk aduan dan tuntutan tebus rugi ialah sebanyak 56.1 peratus.
“Berdasarkan semua perkara tersebut, pihak kementerian bercadang untuk menambah baik Dasar Pengguna Negara (DPN) dan satu kajian sudah dibuat dan ia dijangka selesai pada tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodiyah Sapiee (Gabungan Parti Sarawak – Batang Sadong) yang ingin tahu adakah kerajaan akan menilai semula dasar-dasar kepenggunaan terutamanya DPN memandangkan fokus kementerian telah bertambah kepada isu kos sara hidup ketika ini.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, semua elemen termasuk pengguna bijak, hak-hak pengguna, urus niaga beretika, langkah menstabilkan kos sara hidup, peranan persatuan pengguna serta Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) yang telah dikenal pasti akan dimasukkan di dalam penambahbaikan DPN.
“Justeru, kita berharap agar DPN 2.0 akan selari dengan hala tuju baharu kerajaan dan konsep Malaysia Madani,” katanya.-TVS