Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah), yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN1) di Bangunan Parlimen hari ini.Foto Bernama.

Parlimen: Kerajaan komited kekalkan tahap pemeliharaan hutan negara melebihi 50 peratus – Fadillah

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Kerajaan berpegang teguh terhadap komitmen untuk memastikan Malaysia dapat mencapai tahap pemeliharaan hutan melebihi 50 peratus, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, hasrat berkenaan turut mendapat sokongan kerajaan negeri yang menyatakan komitmen untuk tidak membenarkan penebangan hutan berskala besar bagi penanaman komoditi seperti kelapa sawit.

Katanya, ini dilaksanakan dengan menghadkan kelulusan maksimum untuk penanaman komoditi sebanyak 6.5 juta hektar bagi seluruh negara.

“Namun sekarang ini, penanamannya hanya lebih kurang sebanyak 5.8 juta hektar, maknanya masih di bawah apa yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN1) di Bangunan Parlimen, hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komuniti turut memaklumkan, program penanaman semula pokok-pokok turut giat dilaksanakan pada masa ini.

“Sebab itu kita tubuhkan hutan komuniti di mana komuniti boleh menanam pokok yang mungkin boleh digunakan untuk komoditi yang lain khususnya perabot dan sebagainya namun hutan simpan kekal akan tetap kita pelihara,” katanya.

Sementara itu, Fadillah berkata, Penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) yang diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri merupakan antara resolusi yang dicapai pada mesyuarat pertama MBN1 hari ini.

Kata beliau, penubuhan MBC itu bertujuan untuk meningkatkan pengurusan biodiversiti negara dan seterusnya merealisasikan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semulajadi Malaysia.

“Mesyuarat juga bersetuju dengan terma rujukan MBN dan penyelarasan ‘Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework’ ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.

Jelas Fadillah turut dibentangkan pada mesyuarat hari ini ialah tiga Kertas Pertimbangan dan empat Kertas Makluman, merangkumi inisiatif konservasi biodiversiti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan