KUALA LUMPUR, 22 Mac: Kerajaan Perpaduan mengambil pendekatan berbelanja secara berhemah bagi memastikan negara tidak dibebani dengan faedah yang tinggi untuk tempoh jangka panjang, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, perbelanjaan yang dilakukan itu termasuklah melaksanakan pelbagai projek pembangunan namun pada masa sama kerajaan bertanggungjawab untuk mengurangkan defisit negara secara teratur seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Kata beliau, perbelanjaan kerajaan dapat dilihat menerusi pembentangan Belanjawan 2023 yang terbesar dalam sejarah dengan lebih RM90 bilion disalurkan untuk pembangunan.
“Kerajaan belanja secara berhemah dan dapat nilai terbaik dan bukan bila kita semak dua tiga tahun kemudian, hutang itu digunakan untuk biaya projek Janawibawa,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikan ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (Barisan Nasional – Paya Besar) yang inginkan penjelasan sama ada kerajaan tidak berbelanja yang dibimbangi akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Sementara itu, Rafizi menjelaskan, kerajaan perlu berhati – hati ketika memilih pendekatan berhutang kerana dibimbingi akan terdedah kepada defisit tersasar.
“Kerajaan akan terus berbelanja besar tetapi tidak akan mengambil hutang besar semata – mata untuk dapatkan sokongan rakyat bawahan, Perdana Menteri nampak popular sehingga lepasi defisit antarabangsa,” katanya.
Menurut Rafizi, ketika ini faedah hutang ditanggung kerajaan ialah RM40 bilion setahun dan menjelang lima tahun lagi, angka itu dijangka mencecah RM60 bilion.
“Adakah lebih baik kita bayar faedah RM60 bilion setahun (berbanding) jika belanja secara berhemah (jumlah itu) boleh digunakan untuk bantu golongan rentan,” katanya. -TVS