JAKARTA, 22 Mac: Kerajaan Indonesia melalui Kementerian Agama menetapkan permulaan puasa di negara itu esok hari.
Menteri Agama Indonesia Yaqut Cholil Qoumas dalam sidang medianya berkata, proses melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa untuk umat Islam mengikut peraturan MABIMS (Menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura).
“Proses melihat anak bulan Ramadan berlaku di 124 titik di 33 kawasan di seluruh Indonesia. Hari ini bertepatan dengan 29 Syaaban 1444 Hijriah, dari hasil melihat anak bulan kita bermuafakat 1 Ramadan 1444 Hijriah jatuh pada esok,” katanya
Beliau berkata, dengan itu seluruh umat Islam Indonesia diharapkan dapat bersama-sama menjalani ibadah puasa Ramadan serta menjadikan momentum itu untuk memperkukuh ukhuwah islamiyah, ukhuwah wathoniyah, dan ukhuwah basyariyah. -TVS