Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Foto: Bernama.

Agong nasihat umat Islam elak bazir makanan di bulan Ramadan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 22 Mac: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati umat Islam agar tidak mensia-siakan pahala puasa di bulan Ramadan dengan melakukan pembaziran makanan.

Seri Paduka Baginda bertitah ini memandangkan sisa makanan daripada berbuka puasa menjadi penyumbang terbesar kepada tahap pembaziran makanan di bulan Ramadan.

Baca berita berkaitan:

  1. 1. Umat Islam Malaysia mula berpuasa esok
  2. 2. Indonesia tetapkan umat Islam mula berpuasa esok
  3. 3. Pek Ramadan ringankan beban golongan kurang berkemampuan

“Perkara ini bertentangan dengan hakikat Ramadan yang seharusnya menjadi bulan mendidik umat Islam supaya bersederhana dan tidak membazir,” menurut hantaran di laman Facebook Istana Negara hari ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok, 23 Mac.

Bersempena ketibaan Ramadan, Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh umat Islam mengaut keberkatan di bulan yang mulia ini dengan meneguhkan lagi ketakwaan dalam diri dan menggandakan ibadah serta amalan.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah dalam bulan yang mulia ini ibadah sunat dan amalan kebajikan harus ditingkatkan, manakala ukhuwah sesama insan perlu diperkukuh di samping meninggalkan segala perbuatan yang sia-sia dan merugikan.

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan harapan semoga kehadiran bulan yang mulia ini turut disambut dengan rasa insaf dan syukur atas ujian, rahmat serta nikmat yang dikurniakan Allah.

Seri Paduka Baginda berdua turut mengajak seluruh umat Islam mengambil keberkatan Ramadan untuk bersama mendoakan Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman serta musibah.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak dan menunaikan ibadah puasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

“Semoga kita dapat menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan dengan sempurna supaya dapat digolongkan bersama orang-orang yang bertakwa di sisi Allah SWT,” menurut hantaran itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan