SARIKEI, 21 Mac: Bukan sekadar pencerahan tetapi memberi peluang kepada pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyerlahkan potensi mereka dalam bidang yang diminati.
Itu sebahagian hasrat murni di sebalik Jelajah Misi Akademik Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Sarawak yang sempat singgah di Sarikei, semalam.
Penolong Pendaftar Bahagian Pengambilan Pelajar UiTM, Mohd Noor Asraff Hamdi berkata, program bergerak itu menawarkan pengajian peringkat pra-diploma, diploma dan ijazah.
“Program ini sebenarnya adalah untuk memberi maklumat yang lebih kepada calon kerana calon biasanya keliru apabila hendak mengisi permohonan di sistem permohonan kemasukan pelajar (UPU).
“Mereka kurang mengetahui apakah cara yang betul, bagaimanakah cara hendak mengisi dan bagaimana hendak memasuki UiTM mengikut kedudukan dalam permohonan UPU.
“Jadi kelebihan program ini adalah calon tersebut boleh mengetahui secara lebih terperinci lagi mengenai program yang ditawarkan di Sarawak kerana kita faham kebanyakan calon hendak melanjutkan pelajaran di Sarawak,” katanya ketika ditemui media di Sarikei.
Beliau berkata, siri jelajah dalam pameran pendidikan di Simanggang dan Betong sebelum ini, mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Tambahnya, program pra-diploma yang ditawarkan juga memberi peluang kepada semua pelajar masuk ke UiTM, termasuk calon yang keputusan SPM mereka kurang memberangsangkan.
“Jadi, perkara yang kita ingin sampaikan di sini adalah untuk memberi pendedahan mengenai program yang mereka layak berdasarkan keputusan percubaan SPM, dengan keputusan ini mereka mempunyai idea untuk memilih mana-mana program yang mereka minati. Apabila keputusan SPM yang sebenar keluar, mereka sudah boleh memilih program yang mereka minati,” katanya.
Bagaimanapun, syarat kemasukan minimanya kredit bahasa Melayu dan lulus bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah sebelum mengikuti pra-diploma enam bulan dan berpeluang memilih mana-mana program diploma bagi tiga tahun seterusnya. – TVS