KUALA LUMPUR, 21 Mac: Seramai 140,447 orang warga emas di seluruh negara telah menerima manfaat daripada skim Bantuan Warga Emas (BWE) setakat Disember tahun lepas.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Aiman Athirah Sabu berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah peruntukan yang telah disalurkan untuk skim berkenaan adalah sebanyak RM831.4 juta.
“Manakala bilangan penerima Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya (OKU) Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar (BPT) adalah seramai 26,904 penerima dengan peruntukan yang disalurkan adalah sebanyak RM160.2 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Muhammad Ismi Mat Taib (Perikatan Nasional – Parit) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengusahakan elaun penjagaan warga emas bagi penjaga warga emas dan ahli keluarga seperti yang dinyatakan di dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum ini.
Sementara itu, kata Aiman Athirah, satu Jawatankuasa Teknikal Perlindungan Sosial (JTPS) dan empat jawatankuasa kerja telah ditubuhkan di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) di mana kementerian ini bertindak sebagai Jawatankuasa Kerja Bantuan Sosial.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan dan hala tuju baharu melalui pemberian bantuan sosial yang bersyarat dan pemberian bantuan sosial dengan program Exit Policy turut akan dimasukkan ke dalam pendekatan pembangunan model baharu bantuan sosial.
“Hal ini adalah untuk meningkatkan perlindungan keselamatan sosial rakyat secara menyeluruh dengan memastikan tiada kumpulan rakyat yang tersisih termasuk golongan warga emas,” katanya.-TVS