SIBU, 21 Mac: Banjir kilat yang melanda Kuching baru-baru ini berpunca daripada kesan perubahan iklim dilihat sebagai satu amaran dalam mencari ikhtiar untuk menangani bencana banjir yang mungkin akan berulang.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Michael Tiang berkata, ramai yang telah berkongsi video itu di media sosial.Â
“Kita juga terbaca berita kereta ditenggelami air, malah Hospital Umum Sarawak (HUS) terjejas teruk akibat banjir. Ini berlaku kerana Kuching mengalami jumlah hujan 20 peratus lebih tinggi pada tahun ini berbanding dengan yang pernah direkodkan sebelum ini. Ini hanyalah beberapa contoh kesan langsung daripada perubahan iklim,” katanya pada seminar Pelan Tindakan Perubahan Iklim Majlis Perbandaran Sibu (MPS) hari ini.
Katanya, seruan untuk menangani perubahan iklim adalah lebih mendesak sekarang dan jika tiada apa yang dilakukan, lebih banyak bandar akan ditenggelami air.
“Lebih banyak rumah dan nyawa akan terkesan, makanan akan berkurangan, akan ada lebih banyak kemiskinan, orang akan kelaparan dan akhirnya, ekonomi kita akan menjadi lemah.” katanya lagi.
Di pihak Sarawak, beliau menegaskan bahawa kerajaan meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu daripada tiga tunjang utama dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
Katanya lagi, ia adalah rancangan dan cita-cita tinggi untuk Sarawak menjawab seruan global dalam memerangi perubahan iklim.
“Usaha untuk mencapai kemajuan tidak boleh dilakukan dengan mengorbankan alam sekitar.
“Kita tidak boleh meletakkan alam semula jadi kita dalam bahaya kerana jika kita berbuat demikian, yang menderita ialah rakyat. Justeru, pertumbuhan ekonomi dan persekitaran selamat mesti bersatu dan ia boleh bersatu,” tegasnya.
Tiang berkata, Premier Sarawak telah bekerja keras untuk mengubah model ekonomi dan meletakkan semula Sarawak ke arah ekonomi tenaga hijau utama di Asia Tenggara seperti hidrogen, tenaga suria, hidroelektrik, biofuel dan sebagainya.
“Ini yang sedang dan akan dilakukan kerajaan negeri. Bagaimanapun, kerajaan negeri masih memerlukan sokongan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memainkan peranannya dengan baik dalam menggalakkan masyarakat menyelamatkan alam sekitar,” katanya.
Beliau juga menyeru orang ramai memainkan peranan mereka dalam pemuliharaan alam sekitar dengan mengutamakan kitar semula, perkongsian kereta (car-pooling) dan berhenti membuang sampah merata-rata. – TVS