Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Datu Hamden Mohammad (tiga kanan) berjalan kaki semasa Majlis Perasmian Program Nature Fun Ride, Run & Walk di Sabal Forest Reserve hari ini. Foto: TVS

JHS sasar tanam 35 juta pokok pada tahun 2025

KOTA SAMARAHAN, 21 Mac: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) berjaya menanam sebanyak 21.09 juta pokok sejak dua tahun kebelakangan ini, melepasi sasaran tujuh juta pokok ditanam setiap tahun.

Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad berkata, jumlah itu lebih separuh daripada sasaran 35 juta pokok ditanam dalam tempoh lima tahun bermula tahun 2021 hingga 2025.

“Setakat ini kita sudah menanam lebih 21 juta pokok, jadi saya percaya pada 2025 nanti kita akan mencapai lebih daripada apa yang kita sasarkan iaitu 35 juta pokok.

“Jadi saya amat mengalu-alukan semua masyarakat untuk bersama kami (JHS) menanam pokok-pokok ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Nature Fun Ride, Run & Walk di Sabal Forest Reserve hari ini.

Pada majlis berkenaan sebanyak 2,000 pokok daripada pelbagai spesis tempatan turut ditanam di kawasan hutan simpan berkenaan dengan kerjasama penduduk kampung di sekitar kawasan hutan simpan tersebut.

Hamden berkata, sekiranya usaha sebegini berterusan, maka dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang banyak pokok akan tumbuh subur di Sarawak.

“Ketika ini kira-kira 62 peratus keseluruhan keluasan Sarawak masih lagi dilitupi kawasan hutan sama ada kawasan hutan asli atau kawasan hutan sekunder.

“Kita menyumbang sebanyak 44 peratus kepada jumlah keluasan hutan di negara kita ini iaitu satu jumlah yang amat besar sebenarnya antara ketiga-tiga wilayah Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan