KUCHING, 21 Mac: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) optimis industri pelancongan akan pulih sepenuhnya melihat kepada jumlah pengunjung ke Sarawak setakat Februari 2023.
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak mencatatkan seramai 600,037 pengunjung bagi Januari dan Februari tahun ini.
Katanya, tren pengunjung bagi Januari dan Februari 2023 menunjukkan peningkatan sebanyak 320.2 peratus berbanding pada bulan yang sama bagi tahun 2021.
“Ini adalah satu tanda bahawa sektor pelancongan negeri sudah kembali normal. Saya yakin kita mampu mencapai sasaran seramai 3 juta orang pengunjung tahun ini kerana pada tahun lepas, walaupun kita sasar 1.2 juta pengunjung, Sarawak berjaya catat 2.02 juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai jumlah pemandu pelancong di Sarawak, terdapat keperluan untuk menambah bilangan sedia ada.
Menurutnya, setakat ini seramai 222 pemandu pelancong yang berkhidmat di Sarawak berdaftar dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Semasa pandemik COVID-19, kita telah memberikan pelbagai kursus bagi meningkatkan jumlah pemandu pelancong. Sekarang dengan kedatangan pelancong diharapkan mereka mengaplikasikan ilmu dan latihan yang telah diberikan,” katanya.
Terdahulu, MOTAC telah melanjutkan lesen pengusaha dan pemandu pelancong daripada tiga tahun kepada lima tahun pada 17 Mac lalu.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan bahawa pengusaha dan pemandu pelancong perlu mematuhi syarat yang ditetapkan kementerian. -TVS