KUCHING, 21 Mac: Skuad Cascara Junior berjaya menduduki tangga kelapan daripada 30 pasukan di Kejohanan Bola Sepak Piala Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 bagi kategori peringkat umur bawah 12 tahun.
Pengurus pasukan, Azaree Mohamed berkata, kejohanan tersebut juga disertai pasukan dari luar negara seperti Indonesia, Singapura, China, Myanmar dan lain-lain.

Menurutnya, ini merupakan pertama kali pasukan dari Sarawak menyertai kejohanan antarabangsa tersebut.
“Pemain-pemain terdiri daripada semua pelatih-pelatih daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) Sarawak terutamanya dari Akademi Tunas Kuching dan Akademi Tunas Samarahan,” katanya ketika ditemui TVS pada majlis makan tengah hari di sini, hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol hadir pada majlis itu.
Abdullah yang juga merupakan penaung NFDP Sarawak turut menyampaikan sumbangan kewangan peribadi kepada 12 pemain yang menyertai kejohanan berkenaan.
Sementara itu, menurut jurulatih bagi NFDP Sarawak, Zanawi Zen, NFDP telah bertapak di Sarawak pada 2010.
Katanya, selama 13 tahun, pihaknya telah berjaya melahirkan pemain-pemain bola sepak berbakat bagi mewakili Sarawak khususnya dan mewakili negara secara amnya.
“Untuk sepanjang 2010 sehingga 2014, kita telah melahirkan 16 pemain. Sembilan berada di Akademi Mokhtar Dahari, tiga berada di Terengganu dan empat berada di JDT.
“Inilah pencapaian kita sepanjang 13 tahun. Sebenarnya lebih ramai lagi pemain yang mendapat tempat tetapi tempat untuk kita nak pergi ke Akademi Mokhtar Dahari ini terhad hanya untuk pemain yang terbaik,” ujarnya.
Jelasnya, pemain-pemain terbaik yang lain akan ditempatkan di sekolah-sekolah dan pusat latihan di Sarawak.
Kata Zanawi, terdapat lima pusat latihan daerah di Sarawak iaitu Pusat Latihan Daerah Kuching, Pusat Latihan Daerah Bau, Pusat Latihan Daerah Bintulu, Pusat Latihan Daerah Miri, dan Sekolah Sukan Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, beliau berharap agar fasiliti sukan bola sepak di Sarawak akan dipertingkatkan pada masa akan datang dan agar lebih ramai pihak akan tampil untuk memberikan sumbangan dan dana kepada mereka.
Beliau turut menekankan bahawa ibu bapa perlu memainkan peranan untuk terus menyokong anak-anak mereka di dalam sukan bola sepak. – TVS