SIBU, 20 Mac: Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua daripada tiga buah blok rumah pekerja daripada musnah terbakar di Jalan Bawang Assan dekat sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, sebuah blok rumah pekerja tanpa penghuni musnah 100 peratus namun anggota bomba telah berjaya mengelakkan api daripada merebak ke dua buah blok rumah pekerja yang berhampiran.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba(PgKB 1) Andy Alie berkata, pasukan bomba telah berjaya mengawal api daripada merebak ke dua blok berhampiran yang menempatkan 60 pintu rumah pekerja kilang arang.
“Sejurus menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada jam 10.53 malam, sepasukan 11 anggota keluaran dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah telah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi pada jam 11.19 malam, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan tiga buah blok rumah pekerja namun hanya satu blok yang tidak berpenghuni menempatkan anggaran 40 pintu telah musnah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, operasi pemadaman juga dibantu oleh dua buah pasukan bomba dari keluaran BBP Sibu dan BBP Sibujaya melibatkan 15 anggota.
“Pasukan bomba kemudian bertindak secara ’offensive dan defensive’ dengan tindakan awal membentang satu aliran bantu mula dan seterusnya membahagikan kepada dua pasukan pemadam kepada dua bahagian iaitu dua aliran empat pancutan air dari pili bomba ke pam jentera dan sumber air terbuka dari parit berdekatan,” jelasnya.
Operasi pemadaman terkawal pada jam 11.40 dan kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kehilangan jiwa.
Andy menambah operasi pemadaman ditamatkan pada jam 1.45 pagi selepas kerja-kerja ‘overhaul’ dan pemantauan dilakukan bagi memastikan keadaan sekeliling selamat sebelum pasukan bertolak balik ke balai. -TVS