KUALA LUMPUR, 20 Mac: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal melancarkan Model Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB2030) dalam usaha meningkatkan pembangunan golongan berkenaan di negara ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, walaupun KBS dilihat sebagai agensi peneraju pembangunan belia namun hakikatnya peranan tersebut perlu diselaraskan oleh kementerian dan agensi lain.
Kata beliau, pelaksanaan kerjasama rentas kementerian ini adalah berpandukan kepada Dasar Belia Malaysia (DBM) yang mengetengahkan konsep rentas pelaksana dengan memberi penekanan kepada pendaya upayaan kumpulan pelaksana atau pemegang taruh.
“Ia melibatkan agensi persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pendidikan dan penyelidikan, kumpulan media, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan persendirian atau swasta, NGO belia dan termasuklah perseorangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hasan (Barisan Nasional – Kuala Pilah) ingin tahu usaha dan kerjasama rentas kementerian yang sedang dirancang bagi meningkatkan pembangunan belia selaras dengan Model Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB2030) yang bakal dilancarkan tahun ini.
Selain itu, kata Adam, kerjasama ini turut diberi penekanan dalam model baharu tersebut yang mempunyai strategi dan inisiatif yang menyentuh peranan semua kumpulan pelaksana.
“Langkah membangunkan MBPB2030 merupakan pelengkap bagi menyokong dan menambahbaik mekanisme DBM yang dipadankan dengan pengukuhan dan pemerkasaan konsep futuristik, relevan dan terkini,” katanya.
Sementara itu, beliau menambah, KBS akan melaksanakan sebanyak 125 aktiviti yang akan digerakkan bersama dengan rakan-rakan strategik pada tahun ini.
“Semua program ini menyasarkan penyertaan belia seramai hampir 30,000 orang bagi setiap program dan dilaksanakan dengan kerjasama kementerian serta agensi terlibat,” katanya.-TVS