LIMBANG, 20 Mac: Orang ramai mempunyai peranan penting sebagai mata dan telinga untuk mencegah kegiatan jenayah, kata Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL), Kaunselor Sufian Mohat.
Menurutnya, orang ramai perlu terus mengukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mereka juga berperanan bagi membendung kegiatan jenayah.
“Kita mengharapkan agar hubungan masyarakat dengan PDRM dapat dikekalkan dengan memberikan maklumat dan juga info terkini berkaitan apa saja permasalahan yang ada di kawasan kampung, bandar Limbang dan keseluruhannya di Daerah Limbang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Hari Peringatan Polis ke-216 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang di sini, hari ini. Hadir sama, Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot.
Sufian juga menggesa ibu bapa agar memantau aktiviti anak-anak mereka di rumah bagi mengelak mereka terjebak dalam kancah penyalahgunaan dadah.
Sempena Hari Polis ke-216, Sufian merakam jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Parum dan anggota polis yang berkorban sepenuh jiwa dan tenaga demi mengekalkan keamanan.
“Dalam Sambutan Hari Polis ke-216 ini kita mengharapkan anggota polis agar sentiasa terus diberi kesihatan untuk agar terus menumpukan perhatian mereka dalam tugas-tugas mereka untuk memastikan kita dalam keadaan yang tenang dan damai.
“Pada masa yang sama kita amat berharap agar masyarakat dapat memberikan kerjasama yang sangat baik kepada pihak PDRM untuk memastikan kita dapat hidup dengan aman dan damai,” katanya. – TVS