KUALA LUMPUR, 20 Mac: Malaysia telah mencapai persefahaman dengan kerajaan Indonesia melibatkan pelaburan dan pembekalan gas hidrogen ke ibu negara baharu Indonesia yang diberi nama Nusantara di Kalimantan Timur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persefahaman antara Kerajaan Sarawak dan Indonesia itu telah dimaklumkan oleh Presiden Joko Widodo kepada beliau sebelum ini.
“Perkembangan ini amat membantu dalam menambah keyakinan pelabur,” kata Menteri Kewangan itu dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di sini malam tadi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang turut hadir pada sidang media itu, pula berkata, beliau telah berkesempatan bertemu Jokowi di Indonesia dan membincangkan pelaburan Kerajaan Sarawak berkaitan tenaga hidrogen di Nusantara.
“Ini membayangkan keyakinan negara jiran kepada pemerintahan kita di Malaysia,” katanya. -TVS