Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Antara produk yang dipromosikan ialah seperti madu kelulut, lada hitam, gula apong dan pes laksa Sarawak. Foto: Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU)

Kolaborasi TERAJU dan USM perkasa sosioekonomi komuniti B40 Sarawak

ByDiana Jayaseelan

KUCHING, 20 Mac: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan rakan kolaborasi strategiknya Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menembusi pasaran baharu melalui misi perdagangan antarabangsa ke Jepun, dalam usaha mempromosi dan memasarkan produk-produk keluaran usahawan Bumiputera B40 negeri Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Datuk Md Silmi Abd Rahman berkata, kolaborasi strategik itu bermula pada tahun 2020 melalui program Sustainable Marketing for Community (SMART Community) di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) Sarawak yang bertujuan untuk memperkasakan ekonomi dan sosioekonomi komuniti Bumiputera B40 di Sarawak.

Menurutnya, antara produk yang dipromosikan adalah seperti madu kelulut, lada hitam, gula apong dan pes laksa Sarawak.

“Melalui kaedah Quadruple Helix yang melibatkan empat pihak iaitu agensi kerajaan, institusi pendidikan, rakan industri dan masyarakat setempat, lebih 233 usahawan Bumiputera yang berkategorikan B40 mampu memasarkan produk mereka untuk menembusi pasaran global termasuklah Arab Saudi, Australia, Taiwan, China, Amerika Syarikat dan juga Jepun.

“Dengan adanya  suntikan dana sebanyak RM7 juta, TERAJU selaku penyelaras utama agenda pemerkasaan Bumiputera, berkolaborasi dengan USM bagi meningkatkan ekonomi dan sosioekonomi komuniti Bumiputera B40 termasuk pengeluar produk tempatan berskala kecil, sederhana dan besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lebih 31 produk tempatan Sarawak telah berjaya dieksport dan dijangka mampu mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Sarawak.

“Ini juga adalah sebahagian dari fungsi intervensi strategik TERAJU untuk melonjakkan produk dan perkhidmatan Bumiputera ke pasaran luar negara sejajar dengan inisiatif TERAJU untuk memartabatkan usahawan Bumiputera di peringkat antarabangsa.

“Statistik nilai eksport produk makanan ke negara Jepun mencatat pertumbuhan yang positif pada tahun 2022 dengan pertambahan sebanyak 12.3 peratus berbanding tahun 2021. Pada tahun 2022, nilai eksport produk makanan meningkat kepada RM 1.18 bilion. Eksport produk makanan dari Sarawak juga menunjukkan peningkatan yang signifikan iaitu RM 11.4 juta pada tahun 2022,” ujarnya.

Katanya, peningkatan itu menunjukkan permintaan yang menggalakkan dari Jepun, sekali gus membentuk satu ekosistem rantaian bekalan produk tempatan hasil keluaran Bumiputera ke luar negara yang lebih kukuh. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan