KUALA LUMPUR, 20 Mac: Perpaduan kaum yang erat di Sarawak menjadi faktor wilayah itu diberi penghormatan sebagai lokasi pelancaran Minggu Perpaduan Negara, pada 20 Mei depan, kata Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau yang juga Menteri Perpaduan Negara berkata, kehidupan harmoni masyarakat pelbagai kaum di sana sudah lama diamalkan dan perlu disebarluaskan ke seluruh negara.
“Di Sabah dan Sarawak, aspek perpaduan tidak ada masalah, kita hidup bersama dengan aman dan harmoni malah di Sarawak kita pernah menganjurkan Minggu Keharmonian Antara Agama Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas hadir majlis bersama wakil media di sini hari ini.
Mengulas mengenai pelancaran Minggu Perpaduan Negara yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Aaron Ago memberitahu, acara berkenaan juga akan dibawa ke seluruh negara.
“Kita akan ke Kota Kinabalu,Sabah, Johor dan Pulau Pinang dengan banyak pengisian yang menjurus ke arah perpaduan rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Aaron Ago berkata, sempena Minggu Perpaduan Negara, pelbagai acara kebudayaan dan kesenian etnik di Malaysia akan ditonjolkan.
“Pelbagai program serta agensi kerajaan akan terlibat malah ada sekitar tujuh hingga lapan reruai yang akan didirikan untuk setiap kumpulan etnik menampilkan kesenian dan kebudayaan masing – masing,” katanya.
Berkenaan cadangan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) supaya semua program rasmi kerajaan yang dianjurkan setiap kementerian dimulakan dengan lafaz ikrar Rukun Negara, Aaron Ago berkata, ia juga merupakan sebahagian usaha untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Kebelakangan ini, ikrar Rukun Negara kurang didedahkan kepada rakyat dan (sudah sampai masanya), kementerian berpandangan ia patut dibacakan di sekolah, pada semua majlis kerajaan dan seterusnya membawa semangat patriotisme dalam kalangan rakyat,” katanya. -TVS