SIBU, 20 Mac: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu melancarkan kod respon pantas atau kod QR bagi meninjau kepuasan pelanggan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili berkata sebelum ini, tinjauan berkenaan dilaksanakan secara manual iaitu melalui peti aduan yang diletakkan di semua balai polis di bawah pentadbiran IPD Sibu.
Menurutnya, orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR tersebut dan mengisi borang google yang tersedia dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.
“Orang ramai yang berurusan dengan polis, kod QR tersebut kita akan tampal di sudut yang strategik. Anda hanya perlu imbas kod QR. Saya akan melakukan tinjauan terhadap perkhidmatan polis kepada masyarakat berdasarkan maklum balas masyakarat setelah mengisi pautan google itu.
“Saya akan pastikan perkhidmatan pelanggan kepada masyarakat di Sibu ini kita dapat pertingkatkan,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Polis ke-216 peringkat IPD Sibu dan Pelancaran Kod QR Perkhidmatan Pelanggan di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting Ing Horh, Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Sempurai Petrus Ngelai, Temenggong Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad dan Temenggong Stanley Geramong.
Zulkipli turut menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan perkhidmatan polis di Sibu dapat dipertingkatkan sama ada dari segi kepuasan, kecekapan dan maklum balas.
Beliau turut menekankan maklum balas secara imbasan kod QR itu juga bukan sahaja untuk mendapatkan maklum balas daripada orang awam malah ia juga menjadi tempat menyalurkan informasi berkenaan kegiatan jenayah.
“Saya ada pasukan untuk memantau aduan yang dibuat oleh masyarakat,” katanya.
Seramai 360 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai perarakan di IPD Sibu yang menyaksikan 46 orang menerima sijil penghargaan. – TVS