KUCHING, 20 Mac: Program Kuching Heritage Run Edisi Ke-5 Tahun 2023 dengan tema ‘Gastronomic Heritage’ memperkenalkan masyarakat di Sarawak dan pengunjung tentang warisan budaya, selain menggalakkan gaya hidup sihat.
Penganjur Heritage Run, Philip Yong berkata, antara keunikan program larian tersebut ialah peserta dapat mengikuti larian amal sambil mempelajari aspek warisan budaya di Kuching yang kurang dikenali dan semakin dilupakan.
“Keunikan program ini ialah anda akan menemui sesuatu yang baharu dan sebenarnya menemui semula sesuatu yang sudah kita miliki tetapi kita tidak pernah menyedarinya. Kita mungkin juga mempunyai perkara yang sudah semakin menghilang. Saya menunjukkan itu semua pada program ini yang banyak berkaitan dengan makanan dan kesihatan.
“Ia disusun mengikut cara yang sebenarnya kerana tema tahun ini ialah “Gastronomic Heritage” atau Warisan Gastronomi. Semasa kita memikirkan makanan, kita juga mesti memikirkan kesihatan. Kita juga mesti memikirkan persekitaran. Jadi kami menggabungkan semua perkara tersebut,” katanya ketika ditemui TVS semasa Program Kuching Heritage Run bertempat di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini.
Selain itu, beliau turut berharap agar warisan dan budaya Sarawak akan sentiasa dihargai tidak kira umur sama ada golongan tua mahupun muda.
“Masa depan adalah sebab untuk kita belajar lebih menghargai bandar kita. Apa yang kita ada sekarang, kita perlu memastikan bahawa generasi akan datang dapat menikmati perkara yang kita lakukan dan teruskannya. Saya rasa kadang-kadang kita terlalu mengambil mudah banyak perkara, dan kita tidak cukup menghargai apa yang kita ada. Saya berharap bahawa kita akan lebih menghargai bandar dan warisan kita,” katanya.
Kuching Heritage Run bermula pada tahun 2016 yang memfokuskan kepada kawasan bersejarah di sekitar Bazar Utama, 2017 memfokuskan kepada kawasan Padungan dan Fort Magherita, larian edisi ketiga iaitu pada tahun 2018 memberi tumpuan kepada alam semula jadi di Taman Takungan dan Muzium serta akhir sekali tahun 2019 bertemakan Warisan Melayu Kita.
Seramai 158 peserta telah menyertai Program Kuching Heritage Run Edisi Ke-5 pada tahun ini.
Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee. – TVS